Saturday, November 17, 2012

PEMBEBASAN BAITUL MAQDIS


Sultan Salahuddin Al-Ayyubi : Pembebasan Baitul Maqdis

Assalamu'alaikum wbt
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

(Surah al-Ahzab: ayat 56).


PERISTIWA PEMBEBASAN BAITUL MAQDIS

Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, orang-orang Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Maqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Maqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal iaitu Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Maqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H.

Sultan Salahuddin Al-Ayyubi telah dilahirkan pada tahun 1138 Masihi. Ayahnya berasal daripada suku Kurdistan yang terletak di Utara Iraq. Mereka kemudiaanya berpindah ke negeri Syam. Semasa kecil, Salahuddin belum lagi memperlihatkan sifat-sifatnya yang luarbiasa dan masih belum dikenali ramai. Setelah besar, beliau berpeluang mengikuti bapa saudaranya yang bernama Shirkuh untuk pergi berperang di negeri Mesir yang diperintah oleh keturunan Fatimiyah.

Pada tahun 1169, Shirkuh iaitu bapa saudara Salahuddin telah dilantik sebagai wazir di bawah Khalifah Fatimiyah. Setelah kematian bapa saudaranya, Salahuddin telah diangkat sebagai wazir menggantikan ayah saudaranya itu. Salahuddin menunjukkan sikap seorang pahlawan Islam yang sangat cekap dan seorang pemerintah yang berkaliber.

Beliau berjaya menumpaskan gerakan-gerakan pemberontak oleh golongan-golongan yang cuba merampas kuasa dan berjaya menumpaskan pihak Frank dan Byzantine yang beragama Kristian yang cuba menakluk kota Kahirah, iaitu ibu kota Mesir pada ketika itu.

Pada tahun 1175, berlaku kemangkatan Raja Mesir Bani Fatimiyah yang akhir, lalu Salahuddin telah mengistiharkan dirinya sebagai pemerintah Mesir yang berdaulat. Pemerintah di Baghdad juga telah mengiktiraf Sultan Salahuddin Al-Ayubi sebagai pemerintah yang berdaulat merangkumi Raja Mesir dan Arab Barat (Hijaz dan Yaman).

Dalam masa kurang daripada 10 tahun, Sultan Salahuddin Al-Ayubi telah berjaya memasuki negeri Syam yang luas serta jajahannya menjadi lingkungan kekuasaannya. Sultan Salahuddin Al-Ayubi di iktiraf sebagai pemerintah Islam yang paling agung pada ketika itu memandangkan tanah jajahannya yang begitu luas dan besar.

Semasa berlakunya Perang Salib di Timur Tengah, angkatan salib Kristian iaitu orang-orang Frank telah berjaya menubuhkan beberapa negeri Kristian di Syam. Sikap orang Kristian sangat mengancam ketenteraman dan keamanan negeri-negeri di sekitarnya yang didiami oleh orang-orang Islam. Keadaan ini memaksa Sultan Salahuddin Al-Ayubi membebaskan negeri-negeri yang dikuasai oleh tentera-tentera salib di tanah suci Palestin.

Pembebasan bumi Al-Quds ini tercapai setelah tentera Islam bejaya mengalahkan tentera Salib Kristian dalam peperangan Hittin di bawah pimpinan Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Jumlah tentera Islam pada ketika itu ialah 12,000 orang sementara tentera salib 50,000 orang dipimpin oleh Guy of Lusignan dan Raymond III of Tripoli.
Peperangan ini dinamakan peperangan Hittin kerana ia berlaku di Kampung Hittin, di kaki Bukit Hittin, yang terletak di antara Tiberias dan An-Nasirah. Akhirnya tentera Salib telah tewas. Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat ditawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan.

Dalam tempoh dua bulan selepas Salahuddin mencapai kemenangan di Hittin, tentera Islam di bawah kepimpinan Salahuddin mengambil keputusan untuk memasuki bandar dan ibukota Al-Quds. Sebanyak lima puluh buah bandar dan perkampungan yang pernah berada di bawah penjajahan tentera Salib telah berjaya dimerdekakan dalam tempoh yang terlalu singkat. Namun begitu, objektif sebenar yang dijanjikan oleh Salahuddin Al-Ayyubi kepada umat Islam ialah untuk membebaskan Al-Quds dari kongkongan musuh-musuh Islam.

Untuk tujuan tersebut Salahuddin meneruskan perjalanannya bersama dengan angkatan tentera ke arah Al-Quds (Baitul Maqdis) dan berjaya mengepungnya selama seminggu sehinggalah pasukan tentera pertahanan kota menyerah diri menyebabkan Salahuddin berjaya memasukinya pada hari Jumaat bersamaan 27 Rejab 583H.

Sebaik sahaja tentera Islam berjaya memasuki Al-Quds, Salahuddin Al-Ayyubi mengambil tindakan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Saiyidina Umar bin Al-Khattab (r.a) semasa kali pertama beliau berjaya memasuki Al-Quds. Beliau membuat perjanjian dengan semua masyarakat yang tinggal di sana seperti penganut agama Kristian supaya menjaga kehidupan mereka, kehormatan mereka dan harta benda mereka.
Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H orang-orang Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

Siapakah yang bakal menggantikan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi untuk menawan kembali baitul maqdis daripada Yahudi ini??

SEJARAH PALESTIN DAN ISRAEL


Sejarah Palestin & Israel

Gambar Satelit
Gambar Satelit
Posting ini adalah bertujuan menyebarkan maklumat asas mengenai sejarah konflik Palestin-Israel yang telah wujud sejak ribuan tahun yang lalu, sekaligus berlaku terus-terusan sehingga ke sekarang malah disusuli pula dengan keganasan dan kekejaman.
Posting ini adalah ditulis berdasarkan kefahaman saya, sebarang kesilapan terutamanya dari segi fakta, mohon diperbetulkan.

Tanah Rahmat

Bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau.
Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan “Tanah Yang Dijanjikan Tuhan” kepada mereka. Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka.
Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa kepada pertumpahan darah sekarang.
Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa. Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).

Sejarah Awal

Sebenarnya sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka. Kita tahu melalui alQuran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut.
Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut. Kita boleh baca sendiri dalam alQuran, betapa kaum ini semakin lama semakin “besar kepala”, meminta yang pelbagai dari Nabi Musa dan sebagainya. Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan di dalam alQuran di surah alBaqarah.
Setelah Talut menawan kembali tanah palestin tersebut dari kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin). Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu. Lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.
Sejak dari itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom. Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian. Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi. Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.

Kedatangan Islam

Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan Empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi. Seterusnya empayar Islam semakin berkembang, dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.
Sepanjang dari tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi, mengalami pelbagai perubahan dari sudut struktur pemerintahan. Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan Church.
Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan “fatwa” mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi. Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades)
Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.

Menawan Semula

Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat. Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi. Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin. Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibunegara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.
Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai. Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar. Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi. Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah. Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada namaEmpayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.

Perang Dunia Pertama

Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya perang dunia pertama. Perang dunia pertama terdiri daripada 2 kuasa besar, iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Italy menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.
Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh Britain. Kerajaan Islam Barat yang menjangkaui sehingga ke Algeria, Sudan dan negara-negara utara Afrika, dikuasai oleh Perancis. Kerajaan Islam juga diserang dari utara, oleh Russia, menyaksikan Russia menawan kawasan utara kerajaan Islam.
Perlu diberi perhatian, pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa, kerajaan Islam adalah disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.

Perpecahan Negara Arab

Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisma di negara-negara Arab. Pejuang kebangsaan/nasionalisma Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak dari itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain.
Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan – “hari ini, perang salib sudah berakhir”.
Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi. Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 sebelum itu kepada mencecah setengah juta, manakalan penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.
Wakil dari Yahudi ketika deklarasi tersebut, merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann. Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut. Weizzman mendesak setiausaha luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut. Kerana terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju. Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour,
“Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”
“Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!”
“Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”
Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.
Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.
Akhirnya pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Dari situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.

Kejatuhan Turki Uthmaniyyah.

Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul. Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti – sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular. Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.
Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu – “Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?”
Lord Curzon menjawab – “Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya – Khalifah dan Islam.
Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan.
3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan. Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri. Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.

Holocaust

Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler. Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4. Pelan ini merencanakan pembunuhan euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan seramai hampir 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.
Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.

Penglibatan Amerika Syarikat

Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel. Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki. Setelah holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.
Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden US ketika itu, Harry Truman. Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan PBB lalu PBB mendeklarasi pemisahan Palestin. Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB. Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini. Presiden Israel yang pertama – Chaim Weizmann.

Palestin Sekarang

Sejak dari holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel. Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat holocaust tersebut. Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika. Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.
Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa. Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin. Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika. Sampai bila keadaan ini akan berakhir? Hanya 2 – sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam menyokong perjuangan Palestin.
Di mana kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi sebagai realiti.
Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.
Fikir-fikirkan.

Thursday, October 4, 2012




Tan Sri Datuk Abdul Ghani Minhat (اﺑدﻭل ﻏﺍﻧﻲ ﻣﻳﻧﻫﺍت lahir pada 23 Disember 1935) merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia yang pernah mewakili pasukan Piala Malaysia Selangor pada tahun 1950-an sehinggalah penghujung 1960-an. Beliau beraksi sebagai penyerang dan sayap ketika mewakili Selangor dan Malaysia. Beliau pernah dihantar FAM untuk menjalani sesi latihan di Eintracht Frankfurt, Jerman. Beliau digelar sebagai Raja Bola di atas kehebatannya di padang dan merupakan salah seorang lagenda bola sepak Malaysia.
Beliau banyak menyumbangkan tenaga sebagai pemain dan jurulatih bersama pasukan Selangor walaupun berasal dari Negeri Sembilan. Pada 1959, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menganugerahkan gelaran Raja Bola kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya kepada negeri itu.Allahyarham pernah merangkul Anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Kebangsaan pada 1959 dan 1960 dan pernah melakukan keajaiban dengan menjaringkan 106 gol hanya dalam 15 perlawanan. [1]
Keluarga
Abdul Ghani dilahirkan pada 23 Disember 1935 di Rantau,Negeri Sembilan.Abdul Ghani berkahwin dengan Tengku Aishah Tengku Ibrahim dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nik Abdul Halim, Nik Salwani, Nik Sarina dan Nik Mohd Hanif.

Kerjaya
Kerjaya Datuk Ghani Minhat bermula pada tahun 1945 di sekolah Princess Road (kini Sekolah Kebangsaan Raja Muda) ketika berusia 10 tahun. Ketika mewakili sekolah Princess Road, dia beraksi dengan berkaki ayam. Dua tahun selepas itu, Ghani mewakili Sekolah St John Kuala Lumpur. Pada tahun 1951, bakat beliau dilihat oleh beberapa orang pegawai polis yang kemudiannya menghadiahkan but pertama beliau.
Ketika berusia 17 tahun, beliau terpilih untuk beraksi bersama pasukan Depot Polis yang beraksi dalam Liga Selangor. Beliau beraksi di posisi sayap kiri walaupun berkaki kanan. Peluang ini digunakan beliau untuk menggilap kemahiran menyepak menggunakan kedua-dua belah kaki. Pada tahun 1955, Ghani Minhat terpilih untuk bersama skuad Selangor dan membantu Selangor memenangi Piala Malaysia pada tahun berikutnya buat kali pertama selepas 6 tahun setelah menewaskan Singapura 2-1.

Pada tahun 1956, Ghani beraksi buat kali pertama bersama Malaysia. Penampilan pertamanya bersama Malaysia sangat menakjubkan apabila menjaringkan tujuh gol ketika membantu Malaysia menewaskan Kemboja 9-2. Tahun berikutnya, beliau menjaringkan gol pertama skuad negara dalam kejohanan sulung Pestabola Merdeka hasil sepakan dari 40 meter menentang Vietnam dalam perlawanan yang berlangsung di Padang TPCA, Princess Road. Namun skuad negara pulang hampa apabila gagal membawa pulang piala Pestabola Merdeka. Kehampaan itu berjaya ditebus pada tahun 1958 apabila membantu skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka menewaskan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir.

Ghani kemudian membantu skuad negara mengekalkan kejuaraan Pestabola Merdeka pada 1959. Beliau kemudian mendapat gelaran Raja Bola dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), gelaran yang kemudiannya digunakan oleh sesiapa sahaja merujuk kepada beliau. Beliau melengkapkan hatrik kejuaraan Pestabola Merdeka skuad negara setelah berkongsi kejuaraan bersama Korea Selatan pada 1960. Pada tahun ini juga, Ghani mencipta rekod jaringan yang kekal sehingga ke hari ini apabila menjaringkan 9 gol menentang Negeri Sembilan menjadikan jumlah jaringan beliau 34 gol dalam 9 perlawanan. Setahun selepas itu, Ghani bersama skuad negara meraih pingat emas Sukan SEAP di Rangoon, Burma (kini Myanmar). Dia juga membantu skuad negara memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962.

Pada tahun 1963, Ghani bersama skuad lagenda Merah Kuning (Selangor) menjaringkan 106 gol dalam hanya 15 perlawanan termasuk rekod jaringan bola sepak Malaysia yang kekal ke hari ini iaitu menang 18-0 menewaskan Terengganu (Rekod sebelumnya dipegang Kelantan yang menewaskan Pahang 16-1 pada 1962 hasil 8 jaringan Mohamad Che Su). Dia kemudiannya menjaringkan 4 gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menewaskan Pulau pinang dengan jaringan 6-2.

Pada tahun 1967, Ghani membantu Selangor layak beraksi di perlawanan akhir Kejuaraan Kelab Asia tetapi tewas kepada kelab Israel Hapoel Tel Aviv dengan jaringan 2-1. Beliau bersara dari bola sepak pada tahun 1968 setelah membantu Selangor buat kali kelapan dalam kariernya menjuarai Piala Malaysia. Tambah menarik Selangor berjaya membenam Pulau Pinang 8-1 dalam perlawanan akhir. Beliau menamatkan karier sebagai pemain dengan nota cemerlang apabila berjaya menjaringkan lebih 100 gol dalam peringkat kebangsaan dan negara.

Beliau kemudian dihantar ke Jepun oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghadiri kursus kejurulatihan. Selepas itu, dia dilantik untuk menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan dalam satu kejohanan di Tokyo. Beliau kemudian menjadi jurulatih pasukan kesayangannya Selangor pada tahun 1970 dan pada 1971 beliau menjadi orang pertama yang menjuarai Piala Malaysia dalam dua gelanggang berbeza iaitu sebagai pemain dan jurulatih. Beliau sekali lagi membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Perak 3-1 pada 1972. Beliau kemudian meletak jawatan sebagai jurulatih kerana ingin menumpukan perhatian dalam bidang perniagaan.
10 tahun kemudian, Ghani kembali menjadi jurulatih Selangor menggantikan Chow Kwai Lam namun hanya bertahan selama tiga musim selepas gagal membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia pada musim 1985 meskipun berjaya membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Pahang 3-1 pada musim 1984 dan kembali ke bidang perniagaan. Pada tahun 2004, beliau kembali menabur bakti kepada Selangor. Kali ini sebagai Penasihat Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Beliau kemudian mengundurkan diri dari bola sepak Selangor dan beralih ke negeri kelahirannya sebagai Penasihat Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.

Meninggal dunia
Pada 27 September 2012, Raja bola sepak Malaya, Tan Sri Abdul Ghani Minhat meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), akibat mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung. Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 . Antara pemain bola sepak kebangsaan yang hadir ialah Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Bakri Ibni, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, dan Azlan Johar.
Abdul Ghani meninggalkan isteri Puan Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim, 67, dan empat anak, dua lelaki, Nik Abdul Halim, 42, Nik Mohd. Hanif, 37 dan dua wanita, Nik Salwani, 40 dan Nik Sarina 38.
Antarbangsa
  • Juara Pesta Bola Merdeka 1958, 1959, 1960
  • Pingat Emas Sukan SEAP 1961
  • Pingat Gangsa Sukan Asia 1962
  • Tempat ke-2 Kejohanan Kelab Asia 1967
Kebangsaan
  • Juara Piala Malaysia sebanyak 8 kali
  • Gelaran Raja Bola oleh Persatuan Bola Sepak Selangor
Jurulatih
Individu
  • Pingat DSSA, DIMP, AMN dan PJK

Monday, September 17, 2012

Pembunuhan dan Penyembelihan Rakyat Palestin 17 September 1982

Peristiwa pembunuhan dan penyembelihan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila dari 16 hingga 18 September 1982 tidak mungkin terpadam daripada sejarah kemanusiaan, walaupun media arus perdana seakan-akan tidak pernah tahu tentang hakikat peristiwa tragis itu.

Wednesday, July 18, 2012




Salam Ramadhan kepada semua yang beragama Islam dan salam sejahtera kepada semua. Bulan Ramadhan yang mulia mengandungi banyak peristiwa dan ia memberi pengajaran untuk difikirkan bersama kearah membina intelektual Islam berjaya. Berikut adalah peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam sejarah Ramadhan. Semoga catatan ringkas ini dapat menambahkan pengetahuan dan membuatkan kita lebih rajin beribadat kepada Allah SWT.

1. Di bulan Ramadhan al-Qur’an mula diturunkan. Dengan turunnya ayat yang pertama sehingga yang kelima surah al-‘Alaq kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam semasa Baginda di gua Hira’. Dengan itu bulan Ramadhan disebut juga bulan al-Qur’an, bulan untuk membaca al-Qur’an sekerap dan sebanyak yang boleh.

2. Tahun ke-2 Hijrah, telah peperangan Badar al-Kubra. Mengikut keterangan Ibn Hisyam, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersama-sama pejuang Islam berangkat dari Madinah menuju Badar pada 8 Ramadhan dan pada 17 Ramadhan terjadilah peperangan Badar al-Kubra semasa Baginda di gua Hira’. Peperangan ini dimenangi oleh Islam dan inilah kemenagan agung pertama pejuang-pejuang Islam menentang kemusyrikan dan kebatilan.

3. Pada tahun ke-2 Hijrah juga, zakat fitrah mula disyariatkan. Pada hakikatnya pensyariatan zakat ini adalah tanda kemenangan orang-orang yang berpuasa menentang hawa nafsu dan mengekang kecintaan terhadap harta dan dunia.

4. Di bulan Ramadhan tahun ke-5 Hijrah, para pejuang Islam membuat persiapan untuk menghadapi musuh di Khandaq yang mana peperangan itu terjadi pada bulan Syawal pada tahun itu juga. Di dalam peperangan yang dinamakan juga sebagai peperangan al-Azhab ini pejuang Islam telah mendapat kemenangan gemilang.

5. Pada 21 Ramadhan tahun ke8 Hijrah merupakan tarikh pembukaan kota Mekah. Allah Ta’ala memberi kemenangan besar kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan umat Islam dengan pembukaan kota suci Makkah. Pada mulanya Baginda bersama-sama para sahabat meninggalkan Madinah menuju Makkah pada 10 Ramadhan dalam keadaan berpuasa. Apabila sampai di al-Kadid, Baginda berbuka kerana bermusafir, kemudian pada 21 Ramadhan barulah Baginda memasuki kota Makkah.

6. Pada bulan Ramadhan tahun yang sama Baginda mengutus beberapa kumpula sahabat untuk merobohkan berhala-berhala yang terkenal pada masa itu. Khalid bin al-Walid diutus merobohkan berhala al-‘Uza, Amr bin al-‘Ash merobohkan berhala Suwa’ dan Sa’d bin Zaid al-Asyhali merobohkan berhala al-Manat.

7. Pada tahun ke-9 Hijrah berlakunya peristiwa peperangan Tabuk dan Baginda kembali pulang dari peperangan pada bulan itu juga.

8. Di bulan Ramadhan tahun yang sama juga rombongan dari kota Taif tiba di Madinah. Rombongan ini memeluk agama Islam di hadapan Baginda dan mereka turut berpuasa bersama umat Islam di Madinah.

9. Pada bulan dan tahun yang sama rombongan Raja Himyar tiba di Madinah untuk mengisytiharkan Islam mereka. Mereka menjadi tetamu Baginda dan Baginda menuliskan beberapa panduan tentang hak dan kewajiban mereka. Catatan ini merupakan salah satu dokumen penting di dalam sejarah perundangan Islam.

10. Pada tahun ke10 Hijrah, Baginda telah mengutus rombongan yang diketuai ‘Ali bin Abu Talib ke negeri Yaman dengan membawa bersamanya surat Baginda untuk penduduk Yaman, khasnya suku Hamdan yang kesemua mereka memeluk Islam dalam satu hari.

11. Pada tahun 53 Hijrah pejuang Arab Islam dapat menakluki pulau Rudes.

12. Pada tahun 91 Hijrah pejuang Islam mula mendarat di Selatan Andalus.

13. Pada tahun 92 Hijriyah ketua pejuang Islam Tariq bin Ziyad dapat mengalahkan Raja Rodrik di dalam satu peperangan sengit.

14. Pada tahun 129 Hijriyah mula muncul di Khurasan pendukung pengasas Kerajaan Bani Abbas dilantik sebagai khalifah al-‘Abbasiyyah yang pertama.

15. Pada bulan Ramadhan tahun 132 Hijrah berakhir sudah pemerintahan Bani Umaiyyah dan pada masa yang sama Abu al ‘Abbas dilantik sebagai khalifah al-‘Abbasiyyah yang pertama.

16. Pada bulan Ramadhan tahun 361 Hijriyah al-Jami'ah al-Azhar selesai dibina untuk kegunaan tempat beribadat dan mengajarkan ilmu-ilmu Arab dan syara'.

17. Pada tahun 584 Hijrah Salahuddin al-Ayyubi dapat mengalahkan kaum Salib dan membebaskan semula sebahagian besar negeri yang pernah dikuasai oleh pihak kaum Salib (Kristian). Apabila bulan Ramadhan tiba, pada mulanya Salahuddin al-Ayyubi bermaksud memberi rehat kepada para pejuangnya, akan tetapi kerana takut ajal tiba terlebih dahulu, maka beliau tidak menyempurnakan maksudnya itu, lalu mengarahkan para pejuangnya meneruskan peperangan melawan kaum Salib dan akhirnya mereka mencapai banyak kemenangan sehingga pertengahan bulan ini.

18. Pada tahun 658 Hijrah, Kerajaan Mamalik dapat mengalahkan dan membendung kemaraan tentera Tartar di 'Ain Jalud. Tentera ini bermaksud menguasai selurh negeri Islam, akan memasuki Mesir dan negeri-negeri melalui Mesir.

Saturday, April 21, 2012

TELAGA ZAMZAM



Telaga Zamzam (atau Zamzam Well, atau Zamzam; B. Arab: زمزم) ialah telaga biasa yang terletak di dalam Masjidil Haram di Makkah, hampir dengan Kaabah, tempat paling suci dalam Islam.

Telaga zam-zam merupakan satu-satunya sumber air bersih dari bawah tanah di Mekah satu ketika dahulu. Umat Islam sangat mengambil berat tentang air zamzam ini untuk air wuduk dan perubatan.

Sejarah Umat Islam percaya telaga zam-zam ditemui oleh Siti Hajar isteri kedua Nabi Ibrahim a.s dan ibu kepada anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail.Siti Hajar dan anak kecilnya Nabi Ismail kehausan di kawasan gurun kering kontang . Lantaran itu Siti Hajar berlari anak 7 kali antara bukit Safa dan Marwa untuk mendapatkan air untuk anak kecilnya itu.

Allah menghantar malaikat Jibrail untuk mengeluarkan air suci dari tengah-tengah padang pasir itu. Lokasinya ialah tempat Nabi Ismail menghentak-hentak kaki dan menangis. Siti Hajar mengepong kawasan mata air itu dengan batu-batu dan memanggil zamzam yang bermaksud 'kepung air'. Ketika itu Mekah belum ada penduduk.

Datuk Nabi Muhamad s.a.w bernama Abdul Muttalib telah menjaga, mengurus dan menjaga keselamatan satu-satunya sumber air di kota Mekah zaman pra Islam. Perkataan "zamzam" dipercayai berasal daripada ungkapan "zomk-zomk" bermakna "berhenti mengalir" - yang diluahkan oleh Siti Hajar dalam percubaannya menakung air yang berhamburan keluar.

Menurut hadis, Abu Tharr Al-Ghifari, sahabat Nabi Muhammad S.A.W, berkata semasa beliau mula-mula tiba di Mekah pada zaman permulaan Islam, beliau hidup dengan meminum air zamzam selama sebulan.

Telaga zamzam dalamnya 30 meter sahaja dan kedalaman air hanya 3.32 meter. Dapat bayangkan. Ada beberapa punca mata air di bawah 13 meter. Ujian mengeluarkan air pada kelajuan 8000 liter/second selama tempoh 24 jam menunjukkan paras air surut dari para 3.23 meter kepada 12.72 meter dan kemudian 13.39 meter selepas itu. Paras air kembali normal ke paras 3.9 meter selepas 11 minit.

Semasa ibadah umrah dan haji, para jemaah telah meniru larian Siti Hajar dari Safa ke Marwa sebanyak 7 kali yang dikenali sebagai ibadah Sae'i.

Jabatan Geologi Arab Saudi telah membuat kajian tentang cara pengurusan air zamzam dan menambah jumlah air bagi menampung keperluan jemaah semasa menunaikan haji, membawa balik untuk saudara-mara dan pelbagai tujuan lain.

Kajian menunjukkan air zamzam mengandungi pelbagai mineral seperti kalsium, magnesium dan fluorida.

Kerajaan Arab Saudi yang menjaga bumi Hijaz and Mekah melarang air zam daripada dieksport. atau telah dicampur dengan air lain. Walaubagaimanapun sudah terdapat syarikat yang membantu membekalkan Air Zam Zam yang di bawa terus dari Mekah kepada pengguna yang berhajat.

Wednesday, January 25, 2012

MISTERI KEMATIAN BRUCE LEE

Bruce Lee merupakan lagenda dalam Seni Mempertahankan diri yang lahir pada 1940 (tahun Naga)



Ramai yang tertanya2 bagaimana Bruce Lee seorg lagenda dan pakar kungfu boleh mati secara misteri.Ada yg mengatakan Bruce Lee mati di tgn seorang pendekar melayu yg merupakn guru silat.Adakah betul2 pukulan silat itu yg menjadi punca kematian Bruce Lee.Ikuti kisah ni yg aku petik dr sebuah lmn web utk tatapan semua.Kisah ini juga menceritakan kehebatan Mahaguru silat gayong, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman.

Disember,1987

Dato’ Meor Abdul Rahman menghadiri Kejohanan Silat Sedunia di Kuala Lumpur. Pengakuan aktor Dicky Zulkarnain bahawa bukan beliau yang menumpaskan Bruce Lee tetapi Dato’ Meor Abd.Rahman.

Cerita Versi Pertama

Pada tahun 1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya. Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni beladiri Jeet Kune Do. Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong.

Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya. Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, TETAPI jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia. Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee. Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee. Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau. Dato' Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.

Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut. Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut. Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan (Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee. Pukulan tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut. Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya. Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu. Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.)

Versi Kedua

Di Lapangan Terbang Hong Kong, ketika Dato' Meor Abdul Rahman sedang menunggu penerbangan yang berikutnya, beliau dan Syed Ahmad telah memasuki sebuah restoran yang terletak di dalam kawasan lapangan terbang. Ketika sedang menunggu pesanan tiba, Dato' Meor Abdul Rahman telah terlihat kelibat aktor Bruce Lee sedang dikerumuni oleh peminat-peminatnya di pintu masuk restoran tersebut. Bruce Lee ketika itu ditemani oleh beberapa orang pengawal peribadinya. Dato' Meor Abdul Rahman telah menyuruh Syed Ahmad supaya memanggil Bruce Lee supaya bertemu dengannya. Sebaik sahaja Bruce Lee mengetahui bahawa seorang Raja Silat Melayu ingin menemuinya, maka Bruce Lee pun terus bergegas menuju ke meja di mana Dato' Meor Abdul Rahman berada. Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee yang sememangnya sangat-sangat berhajat ingin bersemuka dengan pakar silat seperti Dato' Meor Abdul Rahman, telah meminta Dato' Meor Abdul Rahman menunjukkan kebolehannya dalam ilmu kebatinan Silat Melayu. Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman pun bersetuju dengan permintaan Bruce Lee tersebut. Sambil duduk berhadap-hadapan, Dato' Meor Abdul Rahman lalu melepaskan suatu pukulan tangan yang dikenali sebagai "Kipas Senandung Dalam Senandung". Pukulan Dato' Meor Abdul Rahman ini telah mengenai tepat ke rusuk Bruce Lee, sehingga menyebabkan Bruce Lee terpelanting jauh ke belakang, bersama-sama dengan kerusi yang didudukinya. Ekoran daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, kawasan di sekitar rusuk Bruce Lee lama-kelamaan telah menjadi bengkak(sehingga membawa maut kemudiannya).

Sebenarnya, sepanjang Dato' Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayong, beliau telah banyak kali dicuba oleh pakar-pakar seni bela diri, sama ada dari luar negeri mahu pun pakar seni bela diri tempatan. Pada pertengahan tahun 1950-an, Dato' Meor Abdul Rahman pernah menumpaskan seorang ahli gusti berbangsa Eropah yang mempunyai saiz badan dua kali ganda berbanding beliau di Singapura. Ahli gusti yang mempunyai berat badan 380 lb itu dikenali dengan nama King Kong dan merupakan seorang juara gusti dunia yang tidak pernah kalah pada zamannya. King Kong juga merupakan seorang ahli gusti yang gemar melanggar peraturan gusti.

Dato' Meor Abdul Rahman juga pernah dicuba oleh pakar seni beladiri Jepun yang berbangsa Eropah seperti Donn F. Draeger(1970-an), Ricky "the Dragon" Steamboat(ahli gusti) dan Jan de Jong(1980-an). Dato' Meor Abdul Rahman, walaupun telah berusia ketika itu, hanya menggunakan sedikit sahaja daripada kudratnya untuk menumpaskan jaguh-jaguh seni bela diri asing tersebut. Jan de Jong akhirnya akur dengan kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan akhirnya meminta untuk berguru dengan beliau. Disebabkan Silat Seni Gayong tidak boleh diturunkan kepada mereka yang bukan beragama Islam, maka Jan de Jong hanya diajar aspek fizikal Silat Seni Gayong, iaitu lebih berupa beberapa petua tentang penangkap di dalam Silat Seni Gayong, serta beberapa teknik serangan dan belaan menggunakan senjata simbat(kayu pendek). Lagipun, Jan de Jong adalah seorang pakar Jujitsu, iaitu beliau sangat gemarkan teknik kuncian dan jatuhan. Ketika berada di Soho, England pada tahun 1973, Dato' Meor Abdul Rahman pernah ditarik oleh samseng Cina. Ketika itu bersama-sama beliau ialah Syed Ahmad Jamalullail. Dato' Meor Abdul Rahman telah bertarung dengan samseng-samseng Cina tersebut dan berjaya menumpaskan samseng-samseng Cina tersebut. Ketika melawat Osaka, Jepun pada tahun 1970, Dato' Meor Abdul Rahman pernah mencuba ilmunya pada samurai Jepun. Samurai Jepun tersebut telah diberikan penimbul oleh Dato' Meor Abdul Rahman sehinggakan Samurai tersebut kehairanan melihatkan kulitnya yang tidak melecur apabila dicurahkan air panas yang baru mendidih.

Tuesday, January 17, 2012

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

01. Rasulullah SAW pernah mengingatkan sesiapa yang berkemampuan tetapi enggan untuk berkahwin melalui sabdanya, "Kamu berkata begitu, ingatlah demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala tidak berpuasa; aku sembahyang dan aku tidur; dan juga kahwin dengan perempuan. Barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikutku".

02. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

03. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu."

04. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, Sejahat-jahat jamuan ialah jamuan walimah (perkahwinan) yang mengundang orang-orang kaya dan meninggalkan orang-orang yang fakir. (riwayat Bukhari & Muslim)

05. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Wanita yang paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya.

06. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Beritahulah kepada orang ramai akan nikah ini dengan pukulan gendang dan rebana". (riwayat Ibnu Majjah)

07. Diharamkan atas kamu mengahwini ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibu kamu, anak-anak perempuan dari saudara-saudara lelaki kamu, anak-anak perempuan dari saudara-saudara perempuan kamu. (An-Nissa: 23)

08. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Hak suami atas isterinya (tanggungjawab isteri terhadap suaminya), bahawa isteri tidak boleh meninggalkan hamparan (tilam) suaminya, hendaklah menerima dengan baik pemberian suaminya, hendaklah taat pada perintah suaminya, tidak boleh keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suaminya, dan tidak boleh membawa (membenarkan) orang yang dibenci oleh suaminya masuk ke dalam rumahnya." (riwayat Al-Tabrani)

09. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga." (riwayat Abu Hurairah)

10. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Tiga perkara yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dianggap bersungguh-sungguh, dan yang dilakukan dengan gurauan (main-main) akan menjadi sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk.

11. "Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu tidak dapat berlaku adil diantara isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu berkahwin seorang sahaja." (An-Nisa: 3)

12. "Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Ar-Rum 21)

13. "Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi waita yang baik pula." (An Nur: 26)

14. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, " Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti." (riwayat Abu Asakir).

15. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Takutlah kepada Allah, di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang ada disampingmu, barangsiapa tidak memerintahkan agar isterinya mengerjakan solat, dan mengerjakan agama kepadanya, maka ia telah berkianat kepada Allah dan Rasul-Nya.

16. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah ditanya apa yang dilakukan oleh Rasullulah SAW dalam rumahtangganya? Jawab Aisyah: Nabi SAW biasa membantu kepentingan keluarganya. Menyapu rumah, menjahit baju yang koyak, memperbaiki sepatu dan memerah susu kambing. Bila tiba waktu solat tiba baru baginda berhenti, kemudian menunaikan solat."

17. Terdapat beberapa cara untuk menggauli isteri secara baik antaranya tidak membuka rahsia isteri serta memperkatakannya di hadapan masyarakat umum. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda, "Seburuk-buruk manusia disisi Allah pada hari Kiamat adalah seorang lelaki yang menceritakan hubungan dengan isterinya dan isteri yang berhubungan dengan suaminya lalu menyebarluaskan rahsia mereka."

18. "Isteri-istei kamu adalah seperi kebun tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah kebun tempat kamu bercucuk tanam itu bagaimana sahaja yang kamu kehendaki." (Al Baqarah: 223)

19. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Perbaikilah wanita, kerana sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Paling bengkoknya tulang rusuk itu adalah di bahagian atasnya. Jika meluruskannya terlalu keras., maka ia akan pecah. Dan jika dibiarkan, maka ia akan tetap bengkok. Maka perbaikilah wanita itu dengan cara yang baik.

20. "Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, hanya kepada -Ku-lah tempat kembalimu (Luqman:14)

21. "Hai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, daripadanya pula Allah menciptakan pasangannya, dan dari keduanya dikembangkan laki-laki dan wanita-wanita yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain; dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu." (An-Nisa': 1)