Tan Sri Datuk Abdul Ghani Minhat
(اﺑدﻭل ﻏﺍﻧﻲ ﻣﻳﻧﻫﺍت
lahir pada 23 Disember
1935) merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia yang pernah
mewakili pasukan Piala Malaysia
Selangor pada tahun 1950-an sehinggalah
penghujung 1960-an. Beliau beraksi sebagai penyerang dan sayap ketika mewakili Selangor dan Malaysia. Beliau pernah dihantar FAM
untuk menjalani sesi latihan di Eintracht Frankfurt, Jerman. Beliau digelar sebagai Raja Bola
di atas kehebatannya di padang dan merupakan salah seorang lagenda bola sepak
Malaysia.
Beliau banyak menyumbangkan tenaga
sebagai pemain dan jurulatih bersama pasukan Selangor walaupun berasal dari
Negeri Sembilan. Pada 1959, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menganugerahkan
gelaran Raja Bola kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya kepada
negeri itu.Allahyarham pernah merangkul Anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik
Kebangsaan pada 1959 dan 1960 dan pernah melakukan keajaiban dengan
menjaringkan 106 gol hanya dalam 15 perlawanan. [1]
Keluarga
Abdul Ghani dilahirkan pada 23
Disember 1935 di Rantau,Negeri Sembilan.Abdul Ghani berkahwin
dengan Tengku Aishah Tengku Ibrahim dan dikurniakan empat orang cahaya mata
iaitu Nik Abdul Halim, Nik Salwani, Nik Sarina dan Nik Mohd Hanif.
Kerjaya
Kerjaya Datuk Ghani Minhat bermula
pada tahun 1945 di sekolah Princess Road (kini Sekolah Kebangsaan Raja Muda)
ketika berusia 10 tahun. Ketika mewakili sekolah Princess Road, dia beraksi
dengan berkaki ayam. Dua tahun selepas itu, Ghani mewakili Sekolah St John
Kuala Lumpur. Pada tahun 1951, bakat beliau dilihat oleh beberapa orang pegawai
polis yang kemudiannya menghadiahkan but pertama beliau.
Ketika berusia 17 tahun, beliau
terpilih untuk beraksi bersama pasukan Depot Polis yang beraksi dalam Liga
Selangor. Beliau beraksi di posisi sayap kiri walaupun berkaki kanan. Peluang
ini digunakan beliau untuk menggilap kemahiran menyepak menggunakan kedua-dua
belah kaki. Pada tahun 1955, Ghani Minhat terpilih untuk bersama skuad Selangor
dan membantu Selangor memenangi Piala Malaysia pada tahun berikutnya buat kali
pertama selepas 6 tahun setelah menewaskan Singapura 2-1.
Pada tahun 1956, Ghani beraksi buat
kali pertama bersama Malaysia. Penampilan pertamanya bersama Malaysia sangat
menakjubkan apabila menjaringkan tujuh gol ketika membantu Malaysia menewaskan Kemboja 9-2. Tahun berikutnya, beliau menjaringkan
gol pertama skuad negara dalam kejohanan sulung Pestabola Merdeka hasil sepakan dari 40
meter menentang Vietnam dalam perlawanan yang berlangsung
di Padang TPCA, Princess Road. Namun skuad negara pulang hampa apabila gagal
membawa pulang piala Pestabola Merdeka. Kehampaan itu berjaya ditebus pada
tahun 1958 apabila membantu skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka menewaskan
Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir.
Ghani kemudian membantu skuad negara
mengekalkan kejuaraan Pestabola Merdeka pada 1959. Beliau kemudian mendapat
gelaran Raja Bola dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), gelaran yang
kemudiannya digunakan oleh sesiapa sahaja merujuk kepada beliau. Beliau
melengkapkan hatrik kejuaraan Pestabola Merdeka skuad negara setelah berkongsi
kejuaraan bersama Korea Selatan
pada 1960. Pada tahun ini juga, Ghani mencipta rekod jaringan yang kekal
sehingga ke hari ini apabila menjaringkan 9 gol menentang Negeri Sembilan
menjadikan jumlah jaringan beliau 34 gol dalam 9 perlawanan. Setahun selepas
itu, Ghani bersama skuad negara meraih pingat emas Sukan SEAP di Rangoon, Burma
(kini Myanmar). Dia juga membantu skuad negara memenangi pingat gangsa Sukan
Asia 1962.
Pada tahun 1963, Ghani bersama skuad
lagenda Merah Kuning (Selangor) menjaringkan 106 gol dalam hanya 15 perlawanan
termasuk rekod jaringan bola sepak Malaysia yang kekal ke hari ini iaitu menang
18-0 menewaskan Terengganu (Rekod sebelumnya dipegang Kelantan yang menewaskan
Pahang 16-1 pada 1962 hasil 8 jaringan Mohamad Che Su). Dia kemudiannya
menjaringkan 4 gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menewaskan Pulau
pinang dengan jaringan 6-2.
Pada tahun 1967, Ghani membantu
Selangor layak beraksi di perlawanan akhir Kejuaraan Kelab Asia tetapi tewas
kepada kelab Israel Hapoel Tel Aviv dengan jaringan
2-1. Beliau bersara dari bola sepak pada tahun 1968 setelah membantu Selangor
buat kali kelapan dalam kariernya menjuarai Piala Malaysia. Tambah menarik
Selangor berjaya membenam Pulau Pinang 8-1 dalam perlawanan akhir. Beliau
menamatkan karier sebagai pemain dengan nota cemerlang apabila berjaya
menjaringkan lebih 100 gol dalam peringkat kebangsaan dan negara.
Beliau kemudian dihantar ke Jepun oleh
Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghadiri kursus kejurulatihan.
Selepas itu, dia dilantik untuk menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan
dalam satu kejohanan di Tokyo. Beliau kemudian
menjadi jurulatih pasukan kesayangannya Selangor pada tahun 1970 dan pada 1971
beliau menjadi orang pertama yang menjuarai Piala Malaysia dalam dua gelanggang
berbeza iaitu sebagai pemain dan jurulatih. Beliau sekali lagi membawa Selangor
menjuarai Piala Malaysia menewaskan Perak 3-1 pada 1972. Beliau kemudian
meletak jawatan sebagai jurulatih kerana ingin menumpukan perhatian dalam
bidang perniagaan.
10 tahun kemudian, Ghani kembali
menjadi jurulatih Selangor menggantikan Chow Kwai Lam namun hanya bertahan selama
tiga musim selepas gagal membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia pada musim
1985 meskipun berjaya membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan
Pahang 3-1 pada musim 1984 dan kembali ke bidang perniagaan. Pada tahun 2004,
beliau kembali menabur bakti kepada Selangor. Kali ini sebagai Penasihat
Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Beliau kemudian mengundurkan
diri dari bola sepak Selangor dan beralih ke negeri kelahirannya sebagai
Penasihat Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.
Meninggal
dunia
Pada 27 September 2012, Raja bola
sepak Malaya, Tan Sri Abdul Ghani Minhat meninggal dunia di Institut Jantung
Negara (IJN),
akibat mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.
Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 . Antara
pemain bola sepak kebangsaan yang hadir ialah Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Bakri Ibni,
Zainal Abidin
Hassan, Dollah Salleh,
dan Azlan
Johar.
Abdul Ghani meninggalkan isteri Puan
Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim, 67, dan empat anak, dua lelaki, Nik Abdul
Halim, 42, Nik Mohd. Hanif, 37 dan dua wanita, Nik Salwani, 40 dan Nik Sarina
38.
Antarbangsa
- Juara Pesta Bola Merdeka 1958,
1959, 1960
- Pingat Emas Sukan SEAP 1961
- Pingat Gangsa Sukan Asia 1962
- Tempat ke-2 Kejohanan Kelab Asia
1967
Kebangsaan
- Juara Piala Malaysia sebanyak 8 kali
- Gelaran Raja Bola oleh
Persatuan Bola Sepak Selangor
Jurulatih
- Juara Piala Malaysia 1971, 1972, 1984
Individu
- Pingat DSSA, DIMP, AMN dan PJK