Wednesday, July 6, 2011

MISTERI WANITA BERKEBAYA MERAH

MISTERI WANITA BERKEBAYA MERAH DI LEBUHRAYA GURUN, KEDAH
13 Mei 2009, Gurun - Seorang guru bahasa Arab, En.Mohd.Fitri Mohamad, 29 tahun, tidak dapat melupakan keanehan yang beliau sekeluarga alami ketika bercuti selama tiga hari ke Cameron Highlands dan Kuala Lumpur minggu lepas. Sepanjang percutian itu, guru Sekolah Yayasan Islam Perlis, Kangar itu mendakwa anak saudaranya yang berusia dua tahun yang menaiki kereta Proton Wira yang dipandunya berperangai aneh apabila asyik menangis. Tidak cukup dengan itu, beliau juga mendakwa keretanya terasa begitu 'berat' dan beliau ternampak kelibat 'lembaga' semasa berhenti di Padang Besar.

"Sepanjang perjalanan selepas itu, kereta saya terasa berat semacam sehingga kos minyak dari Kuala Lumpur balik Perlis mencecah RM100 sedangkan biasanya dalam lingkungan RM60 sahaja" katanya. Sewaktu dia menurunkan abangnya di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar sebaik habis cuti pada Isnin lalu, Mohd.Fitri mendakwa ternampak kelibat satu lembaga keluar dari keretanya.



Namun, peristiwa paling mengejutkan mereka ialah kemunculan imej 'lembaga' yang kelihatan seperti wanita berbaju kebaya merah yang dirakam dalam sekeping gambar di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat & Rawat (R & R) Gurun arah selatan sewaktu mereka memulakan percutian pada Jumaat lalu. En.Mohd.Fitri mengakui semasa mengambil gambar isterinya, Pn.Shatini Shahidan, 28 tahun, yang berdiri di sebelah kereta mereka pada pukul 5.30 pagi itu, tiada sesiapa dilihat berjalan di belakang Pn.Shatini. Lembaga itu muncul dengan wajahnya kabur dan berambut panjang.



En.Mohd.Fitri tidak menyedari ada imej 'lembaga' berbaju merah di belakang isterinya di stesen minyak R & R Gurun sehinggalah gambar ini dimuat turun semula semalam


"Saya membaca ayat Kursi bagi memastikan kami tidak terus diganggu," ujarnya. Peristiwa itu kemudian dilupakan sehinggalah dia melihat semula gambar yang dirakam di stesen minyak itu menggunakan kamera digital Nikon milik majikan isterinya. "Berdasarkan gambar itu dan pengalaman saya melihat kelibatnya, ia amat mengerikan iaitu seakan-akan muka beruk dengan pipi lebar dan mulut muncung panjang serta berambut panjang," ujarnya. Sementara itu, Pn.Shatini yang merupakan seorang kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) memberitahu, ketika gambar itu diambil, beliau tidak berasa sesuatu yang aneh pun.



Gambar ini dirakamkan di stesen minyak yang sama di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gurun tidak lama selepas imej 'wanita berbaju merah' itu kelihatan


Kejadian yang mereka alami itu berlaku hanya kira-kira 20 minit perjalanan dari lokasi dua kemalangan jalan raya yang berlaku pada tahun ini di Sungai Petani. Kemalangan itu membabitkan seorang pemandu kereta Perodua Kancil yang cedera parah pada 5 Februari 2009. Ia diikuti dengan insiden seorang pemandu lori serta kelindannya cedera apabila kenderaan mereka terbabas di Kilometer 105, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungai Petani pada 19 April 2009. Dalam kejadian tersebut, kedua-dua mangsa mendakwa yang mereka ternampak dan cuba mengelak kelibat 'wanita berkebaya merah' yang dilihat melintasi lebuh raya itu.




HANTU WANITA KEBAYA MERAH NYARIS BAWA MAUT

5 Februari 2009, Sungai Petani - Gara-gara terkejut ternampak kelibat 'wanita berkebaya merah' melintas jalan, seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas dan terbalik di susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Utara dekat Sungai Lalang di sini kelmarin. Walaupun bernasib baik tidak kehilangan nyawa selepas kereta Perodua Kancil miliknya remuk teruk, pemandu kereta yang hanya mahu dikenali sebagai Mr.Chan, 51 tahun, kebingungan memikirkan tragedi itu. Semasa kejadian pukul 6.45 petang, Mr.Chan dalam perjalanan pulang ke Taman Bandar Puteri Jaya di sini selepas melawat keluarganya di pekan Ko'bah, Pendang. "Semasa tiba di selekoh berhampiran susur keluar plaza tol itu, hujan renyai-renyai dan saya pun menaikkan cermin tingkap. Pada masa sama, seorang wanita muncul dari celah pokok bunga yang ditanam di kiri jalan terus melintasi kereta saya dalam keadaan melenggang-lenggok sehingga menampak betis sambil tersenyum memandang saya "

Mr.Chan duduk termenung memikirkan 'wanita kebaya merah' yang menyebabkan
keretanya terbabas di susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Utara



PEMANDU LORI PARAH ELAK WANITA BERKEBAYA MERAH

19 April 2009, Sungai Petani - Siapa wanita berkebaya merah yang melintas jalan hingga menyebabkan seorang pemandu lori parah manakala kelindannya cedera ringan apabila lori yang dipandu terbabas sebelum menjunam jatuh dekat kawasan Taman Perumahan Taman Keladi semalam.

Ketika kejadian pukul 8.15 pagi itu, pemandu lori terbabit, En.Mohd.Sobri Shaari, 42 tahun dan kelindannya yang dikenali sebagai En.Atan, 37 tahun, sedang dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam, Kedah menuju ke Bagan Ajam, Butterworth. Menurut En.Atan, ketika kejadian dia sedang berbual dengan En.Mohd.Sobri berkaitan dengan lembaga misteri seakan seorang wanita yang pernah ditemuinya di Bagan Ajam.

"Ketika rancak bercerita, En.Mohd.Sobri tiba-tiba menekan brek lori sambil mengatakan ada seorang wanita berkebaya merah melintas di tengah jalan di Kilometer 105.8, Lebuh Raya Utara-Selatan. Oleh kerana ketika itu lori dipandu agak laju, En.Mohd.Sobri hilang kawalan menyebabkan lori yang dipandunya terbabas sebelum menjunam jatuh dari ketinggian 10 meter ke atas sebatang jalan di kawasan Taman Perumahan Taman Keladi," dakwanya semasa ditemui di tempat kejadian semalam.


Orang ramai melihat lori yang terjunam jatuh dari Lebuh Raya Utara-Selatan
di kawasan Taman Perumahan Taman Keladi, Sungai Petani



AWAS !!! CIRI-CIRI WANITA MISTERI BERKEBAYA MERAH
Berusia dalam Lingkungan 20-an
Bertubuh Langsing dan Berkulit Putih
Rambut Lurus ke Paras Bahu
Bermuka Bujur dan Berhidung Mancung
Memakai Lipstick berwarna Merah Terang
Memakai Kebaya Merah dengan Corak Bunga Putih

EMIR BERCERITA: Misteri Karak

EMIR BERCERITA: Misteri Karak: "Nak kongsi maklumat yang aku dapat. Lebuhraya karak Sebenarnya Karak ada dua jalan,satu jalan lama Karak(KL-Bentong) dan satu lagi Leb..."

EMIR BERCERITA: 11 Jenis Manusia didoa para malaikat

EMIR BERCERITA: 11 Jenis Manusia didoa para malaikat: "PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang..."