Sunday, July 20, 2014

Cara Solat Sunat Tasbih.



بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

.
Solat ini disebut Solat Tasbih kerana diucapkan tasbih sebanyak300 kali dalam empat rakaat solatnya. Solat Sunat Tasbih dianjurkan kalau boleh tiap-tiap malam, andaikata tidak sanggup, kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
.
Solat sunat Tasbih ini telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abbas bin Muththalib. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali .“  ( HR. A bu Daud dan Ibnu Majah )
.
Solat Tasbih ini dapat membuka pintu ampunan Allah SWT. di atas segala dosa, dari awal hingga akhir, lama maupun baru, disengaja atau tidak, kecil ataupun besar, nampak maupun tersembunyi.
.
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a.; “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada bapa saudaranya Abbas bin Abdul Muthallib; ‘Wahai al-‘Abbas, bapa saudaraku! Sukakah aku berikan, aku kurniakan dan aku ajarkan kepadamu ‘sepuluh kelebihan’ jika kamu lakukannya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa kamu dari awal hingga akhirnya, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terangan; iaitulah kamu menunaikan solat empat rakaat di mana kamu membaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah dan satu surah (yang lain), kemudian apabila selesai membaca (al-Fatihah dan surah itu) engkau bacalah ketika sedang berdiri itu; “سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر” (Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaaha Ilallah Wallahu Akbar) sebanyak 15 kali. Kemudian kamu rukuk dan semasa rukuk itu kamu membaca sebagaimana bacaan tersebut sebanyak 10 kali. Kemudian kamu angkat kepalamu dari rukuk dan membaca 10 kali juga (ketika sedang berdiri I’tidal itu). Kemudian kamu sujud dan membaca semasa sujud sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangun dari sujud dan membaca 10 kali lagi. Kemudian kamu sujud semula dan membaca 10 kali juga. Kemudian engkau angkat kepalamu dari sujud dan membacanya 10 kali lagi sebelum bangun ke rakaat berikutnya. Demikianlah 75 kali pada setiap rakaat. Hendaklah kamu lakukannya dalam empat rakaat. Jika kamu dapat kerjakan solat itu pada setiap hari sekali, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali pada setiap jumaat. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap bulan. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap tahun. Jika tidak mampu juga, lakukanlahsekali seumur hidup.” (HR Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
.
.

Cara Mendirikan Solat Sunat Tasbih

.
Solat sunat Tasbih dilakukan sebanyak empat rakaat dan satu salam sekiranya solat itu didirikan pada siang hari. Manakala jika didirikan pada malam hari, 4 rakaat itu dikerjakan dengan 2 salam ( 2 rakaat, 1 salam).
Harus diingat, walaupun 4 rakaat, solat ini mengambil masa yang agak lama (lebih kurang 4 minit) kerana ia diselangi bacaan tasbih. Setiap rakaat jumlah tasbihnya  75 kali, maka  jumlah keseluruhan tasbih yang dibaca adalah 75 tasbih  X 4  rakaat = 300 kali.
.

Caranya;

.
1.  Niat Solat Sunat Tasbih:
a)  Niat Solat Tasbih 2 Rakaat,
“U-shol-lii sun-na-tat Tas-biyh rok-’a-tai-ni lil-laa-hi ta-’aa-laa.”
(Daku Solat Sunat Tasbih dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.)
 .
b)  Niat Solat Tasbih 4 Rakaat,
“U-shol-lii sun-na-tat Tas-biyh ar-ba-’a rok-’a-tin lil-laa-hi ta-’aa-laa.”
(Daku Solat Sunat Tasbih empat raka’at, kerana Allah Ta’ala.)
 .
.
2.  Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:
    1. Rakaat 1:  Surah At-Takathur atau Ad-Dhuha
    2. Rakaat 2:  Surah Al-Ashr atau Al-Insyiraah
    3. Rakaat 3:  Surah al-Kafirun atau Al-Kauthar
    4. Rakaat 4:  Surah Al-Ikhlas.atau An-Nashr.
.
.
3.  Bacaan Tasbihnya ialah:
Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, dan tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar;   Dan tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
.
Nota;
*Buat permulaan sekiranya berasa berat, bacalah tasbih di atas pada barisan pertama sahaja.
.
.
4.  Lakukanlah seperti solat-solat biasa yang lain beserta bacaannya, tetapi tambahlah bacaan tasbih di bawah di akhir setiap bacaan sebelum berpindah kepergerakan seterusnya.
.
.
5.  Bacaan tasbih dalam satu rakaat ialah:
    • Selepas baca doa Iftitah, al-Fatihah dan surah, kita baca 15 kali tasbih
    • Rukuk - 10 kali tasbih
    • Iktidal - 10 kali tasbih
    • Sujud pertama - 10 kali tasbih
    • Duduk antara 2 sujud - 10 kali tasbih
    • Sujud kedua - 10 kali tasbih
    • Duduk sebentar (sebelum berdiri) seperti duduk diantara 2 sujud, - 10 kali tasbih.
.
.
6.  Jumlah tasbih dalam satu rakaat ialah 75 tasbih. Lakukan perkara yang sama pada rakaat seterusnya. Ulang langkah 1-7 sampai 4 rakaat, jadi jumlah semuanya 300 tasbih.
.
.
7.  Sekiranya terlupa membaca tasbih di satu-satu tempat, bolehlah digantikan di tempat berikutnya.
.
.
8.  Harus diingat pada rakaat kedua (malam hari) atau keempat (siang hari) setelah membaca Tasyahhud, dibacakan juga Tasbih 10 kali sebelum memberi salam.
.
.
9. Membaca doa solat tasbih;
.
By; shafiqolbu

SOLAT HAHAJJUD

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ


اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ


Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur, afdalnya dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Firman Allah SWT.:
17:79
 “Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” 
(Surah Isra’; ayat 79)
.
Rasulullah SAW bersabda:  “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”   (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)

.

Tujuan Solat Tahajjud

.
  1. Sebagai petanda perhambaan kepada Allah SWT.
  2. Mendekatkan seorang hamba dengan Penciptanya
  3. Tanda kesyukuran manusia di atas nikmat kurniaan Allah SWT.
  4. Menguatkan jiwa dan ketaqwaan seseorang kepada Allah SWT.
  5. Mendapatkan ketenangan dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup.
.
.

Cara Mendirikan Solat Tahajjud

.
Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam. Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat tetapi dilakukan secara berterusan setiap malam.
Rasulullah SAW telah bersabda,:  “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.”    (Riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Aisyah.)
.
.

1.  Sebelum mengerjakan Solat Tahajjud baca doa berikut :

Doa Sebelum Tahajjud
 .
Tiada Tuhan melainkan Dikau, Maha Suci Dikau! Daku memohon ampun kepada-Mu bagi dosa-dosaku dan daku memohon kepada-Mu akan Rahmat-Mu. Ya Allah! Tambahkanlah padaku ilmu dan janganlah Dikau pesongkan hatiku setelah Dikau berikan petunjuk. Dan berikanlah daku Rahmat-Mu; Sesungguhnya Dikaulah yang melimpahkan rahmat! Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku dan kepada-Nyalah tempatku kembali.
.
.

2.  Niat Solat Tahajjud:

(Ushalli sunnatat tahajjudi rak’ataini Lillahi ta’ala)
Daku bersolat Sunat Tahajjud dua rakaat, kerana Allah Ta’ala.
.
.

3.  Bacaan Surah selepas Al-Fatihah:

.
a)
Rakaat pertama:    Ayat Al-Kursi  (7 kali)
Rakaat kedua:    Surah Al-Ikhlas  (11 kali)
Atau;
b)
Rakaat pertama:    Ayat Al-Kaafirun
Rakaat kedua:    Surah Al-Ikhlas
Atau;
c)
 10 Ayat Terakhir, Surah Al-Imran,.
(Rasulullah SAW sering membaca ini pada solat Tahajjud Baginda.)
.
.

4. Selepas membaca tasbih pada sujud kedua dalam rakaat terakhir, bacalah doa berikut 3 kali:

doa sujud akhir tahajud
.
.

5.  Selesai salam solat Tahajud, bacalah doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah SAW ini:

.
.

6.  Kemudian sambung baca Doa Solat Sunat Tahajjud berikut:~

Doa Solat Sunat Tahajjud
.
Ya Allah! Bagi-Mu segala puji-pujian. Dikaulah pendiri langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Bagi-Mulah segala pujian, Dikau Penguasa langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya. Dan bagi-Mulah segala puji, Pemancar cahaya langit dan bumi dan alam semesta serta segala isinya.
Bagi-Mulah segala pujian, Dikaulah yang benar (Al-haq), janji-Mu adalah benar, firman-Mu adalah benar, perjumpaan dengan-Mu adalah benar, syurga itu benar dan neraka adalah benar. Nabi-nabi itu benar, Nabi Muhammad SAW adalah benar dan adanya hari Kiamat itu benar. 
Ya Allah! Pada-Mulah daku menyerahkan diri, dengan-Mu daku beriman, kepada-Mu daku bertawakal, kepada-Mu daku kembali, dengan-Mu daku menghadapi musuh dan kepada-Mu daku berhukum. Ampunilah dosa kesalahanku yang telah lalu dan yang terkemudian, baik yang daku sembunyikan mahupun yang daku nyatakan, di mana Dikau lebih mengetahuinya. Dikau yang Maha Mendahului dan Maha Mengakhiri. Tiada Tuhan melainkan Dikau! Tiada padaku daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah!
Ya Allah! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebajikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.
Selawat Allah ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta para sahabat sekeliannya. Segala puji hanyalah untuk Allah; Tuhan Pemelihara seluruh alam.! 
.
.

KELEBIHAN  SOLAT TAHAJJUD

.
    1. Tahajjud adalah solat sunat yang paling afdal.
    2. Doa dimakbulkan Allah.
    3. Memperolehi ketenangan jiwa.
    4. Merasai diri hampir kepada Allah SWT.
    5. Diberikan keistimewaan oleh Allah SWT.
    6. Memperolehi pertolongan dan rahmat Allah.
    7. Menewaskan gangguan dan godaan syaitan.
    8. Mencegah dosa dan menghindari  penyakit.
    9. Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas.
    10. Allah SWT memudahkan menerima ilmu yang dipelajari.
    11. Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai.
    12. Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.
    13. Allah SWT memberikan kemudahan dan rezeki yang berpanjangan.
    14. Orang bersolat Tahajud menjadi kesayangan Allah SWT.
    15. Diberi keistimewaan yang orang lain tidak perolehi.
    16. Mendapat kemuliaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
    17. Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah Azza Wa Jalla.
    18. Memudahkan hisab di akhirat dan melintasi Titian Siratal-Mustaqim.
.
.

Memudahkan Bangun Solat Malam

.
  1. Sebelum masuk tidur, berniat ingin melakukan Solat Tahajjud.
  2. Menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.
  3. Bersederhana makan dan minum pada waktu siang.
  4. Membaca ayat-ayat Al-Quran.
.
Rasulullah SAW bersabda:  “Sesiapa yang hendak tidur dan berniat untuk bangkit bagi mengerjakan Solat Sunat Tahajjud, kemudian tidurnya terlajak sampai ke pagi, maka dicatat niatnya itu sebagai satu pahala, manakala tidurnya pula dikira sebagai kurniaan Allah yang diberikan kepadanya.”   (Riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Majah r.a.)
.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه