Friday, August 16, 2013

FAKTA PENTING PERGOLAKAN DI MESIR


  1. Fakta-fakta penting tentang pergolakan yang sedang berlaku
  2. Latar belakang sejarah yang signifikan terhadap krisis ini
Harapannya, selepas membaca post ini, dapatlah anda mengetahui sedikit-sebanyak gambaran yang lebih jelas tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku. Selepas itu, diharapkan anda dapat berkongsikan fakta-fakta yang benar kepada rakan-rakan, saudara-mara, jiran seberang rumah dan pakcik jual ikan yang datang setiap hari Rabu itu. Kerana masih ramai yang tidak tahu situasi sebenar yang berlaku di Mesir dan mengharapkan laporan-laporan berat sebelah media selama ini.
 


Fakta 1
Mari kita lihat sejarah Mesir terlebih dahulu, supaya kita dapat lebih faham keadaan sosio-politik yang melatari pergolakan yang berlaku di Mesir pada hari ini.

Teringat pula cerita Aladdin. Heh, [Kredit]
Mesir sememangnya kaya dengan sejarah. Antara ketamadunan awal manusia yang menyaksikan terbinanya monumen-monumen hebat seperti piramid, patung Sphinx dan Obelisk. Dan juga tarian gelek. Eh. Mesir juga menjadi latar belakang kepada kisah Nabi Yusuf a.s. yang berakhir dengan kegembiraan selama-lamanya (Baca: Happily ever after) apabila baginda dilantik menjadi menteri yang menjaga perbendaharaan Mesir. Seperti yang kita sedia maklum, baginda akhirnya disatukan dengan ayahandanya, Nabi Yaakub a.s. dan juga adik-beradiknya yang lain. 

Mesir juga menjadi saksi kepada usaha-usaha dakwah Nabi Musa a.s. dan saudaranya, Nabi Harun a.s. terhadap Firaun laknatullah 'alaih. Kekejaman Firaun jelas dicatatkan di dalam al-Quran apabila dia mengarahkan pembunuhan semua bayi lelaki Bani Israil dan ahli-ahli sihirnya yang berpaling tadah. Firaun dan konco-konconya akhirnya ditenggelamkan oleh Allah di Laut Merah, sebelum dia sempat bertaubat. 

Munculnya wira agung bernama Saifuddin Qutuz mengalahkan tentera Tartar yang maha zalim juga berlaku di bumi Mesir. Salahuddin Ayyubi yang membebaskan kota Baitulmaqdis daripada cengkaman tentera-tentera Salibin juga berasal daripada tanah Mesir yang suci. 

Sayugia jelas, betapa signifikannya bumi Mesir sebagai bumi yang diberkahi bukan sahaja oleh para Anbiya', malah oleh perjuangan jihad menegakkan Islam. 

Fakta 2 
Penglibatan tentera dalam mencorakkan sejarah Mesir moden bukanlah sesuatu yang baharu. Raja Farouk, monarki terakhir dalam sejarah Mesir telah digulingkan oleh Muhammad Naguib dan Jamal Abdul Nassir, kedua-duanya merupakan pegawai tentera. Muhammad Naguib, yang kemudiannya menjadi Presiden pertama Mesir, digulingkan pula oleh Jamal Abdul Nassir setelah hanya setahun memerintah! Gelak keji.

Pemerintahan tentera ke atas Mesir disambung oleh Anwar Sadat yang kemudiannya mati dibunuh oleh para pegawai tenteranya sendiri pada tahun 1981. Anwar Sadat kemudiannya digantikan oleh Hosni Mubarak yang memerintah Mesir sehinggalah awal tahun 2011, apabila dia dijatuhkan menerusi Revolusi Musim Bunga rakyat Mesir. 

Sepanjang tempoh pemerintahan Jamal Abdul Nassir sehinggalah Hosni Mubarak, perintah darurat yang memberikan kuasa mutlak kepada pihak tentera dikuatkuasakan, kira-kira 44 tahun lamanya!




Konspirasi Naguib dan Jamal. [Kredit]

Fakta 3
Pergolakan yang sedang berlaku di Mesir pada hari ini adalah kesan langsung daripada rampasan kuasa oleh pihak tentera, yang diketuai oleh Jeneral Abdul Fatah as-Sisi ke atas Presiden Muhammad Mursi yang digulingkan pada 3 Julai 2013 yang lalu. Sebagai tindak balas, para penyokong Presiden Mursi mengadakan protes dan tunjuk perasaan secara aman di seluruh Mesir, namun fokusnya adalah di Kaherah (Cairo), Mesir.

Penggulingan Presiden Mursi dilihat oleh banyak pihak sebagai haram dan tidak sah, sementelah beliau telah memenangi pilihan raya Mesir secara adil dan saksama, apabila memperoleh lebih 51% daripada undi rakyat Mesir. Ironinya, mereka yang mengadakan demostrasi untuk menjatuhkan Presiden Mursi adalah mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang demokrasi.



Fakta 4
Bercakap tentang pilihan raya Mesir yang buat julung-julung kalinya diadakan secara telus dan adil apabila tiada penglibatan pihak tentera dan penipuan oleh pihak pemerintah, parti Al-Hurriyah wal 'Adalah (Freedom and Justice Party) yang merupakan sayap politik kepada Ikhwanul Muslimin, telah menang besar apabila memperoleh 37.5% daripada jumlah undi, diikuti oleh Parti Salafi an-Nur (27.8%) dan Parti al-Wafd (9.2%). 

Parti al-Hurriyyah wal 'Adalah (Kebebasan dan Keadilan) [Kredit]

Pada mulanya FJP tidak berhasrat untuk menghantar wakil bagi bertanding jawatan Presiden, kerana bukan itu yang mereka mahukan. Namun setelah melihat mudharat andai mereka tidak bertanding, dan maslahat yang lebih besar yang perlu dipertahankan, mereka memutuskan untuk menghantar Khairat Shatir untuk bertanding jawatan tersebut.

Namun atas masalah teknikal yang saya kira remeh dan kecil, penamaan Khairat Shatir sebagai calon Presiden terpaksa dibatalkan. Muhammad Mursi yang ketika itu merupakan Presiden FJP telah dihantar sebagai pengganti. Beliau menang dalam pilihan raya Presiden tersebut secara rasminya pada 24 Jun 2012 dan menjadi Presiden Mesir pertama yang dilantik secara undian demokrasi.

Fakta 5
Pakcik Baradei [Kredit]
Antara yang mendalangi demonstrasi dan tunjuk perasaan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Presiden Mursi termasuklah Muhammad el-Baradei, Amr Moussa, Hamdeen Sabahi dan Hisham Bastawisy, hampir kesemuanya calon yang kalah dalam pilihan raya Presiden Mesir. Nah, anda sudah nampak permainannya di situ..?  

Terdapat dakwaan daripada Ikhwanul Muslimin betapa el-Baradei dan konco-konconya bersekongkol dengan kerajaan Zionis Israel dan Amerika Syarikat dalam merencana kekacauan dan haru-biru di Mesir, sehingga akhirnya membawa kepada penggulingan Presiden Mursi.

El-Baradei telah dilantik sebagai Naib Presiden baru bagi kerajaan sementara Mesir; itu pon setelah dibantah oleh ramai pihak kerana tidak bersetuju dengan cadangan untuk melantiknya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Terbaru, El-Baradei telah pon meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden kerana tidak bersetuju dengan tindakan tentera Mesir membunuh para penunjuk perasaan di Medan Rabaah dan kawasan sekitarnya. 



Fakta 6
Telah terbukti penglibatan Amerika Syarikat, Israel dan musuh-musuh Islam yang lainnya dalam merencana kejatuhan Presiden Mursi dan penguasaan FJP dalam parlimen Mesir. 

Pergerakan Tamarrud, yakni nama yang diberikan kepada para penunjuk perasaan penentang Presiden Mursi telah terbukti menerima pembiayaan daripada Amerika Syarikat. Perkara ini ada dilaporkan di al-Jazeera. 

Antara tindakan pertama yang dilakukan oleh kerajaan sementara pimpinan Presiden Adly Mansour adalah dengan menutup sempadan Rafah, yang sebelum ini telah dibuka oleh Presiden Mursi. Sempadan ini menjadi penghubung penting rakyat Palestin dalam mendapatkan bekalan asasi harian. Penutupan ini jelas memperlihat persengkokolan yang berlaku antara Israel dan kerajaan Mesir yang baru. 

Amerika dan Israel pejuang demokrasi tulen..? 

Fakta 7
Negara-negara Arab juga ada yang terlibat dalam konspirasi jijik menjatuhkan Presiden Mursi. Sebaik sahaja Adly Mansour dilantik sebagai Presiden baru bagi kerajaan sementara Mesir, Arab Saudi adalah antara negara yang terawal yang menghantar perucapan tahniah.

Arab Saudi, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu masing-masing menyalurkan bantuan kewangan bernilai bilionan dolar Amerika usai kudeta yang menjatuhkan Presiden Mursi. Negara-negara ini sememangnya terkenal memusuhi Ikhwanul Muslimin, kerana takutkan kepada ideologi yang dibawa oleh mereka. 

Sementara itu, dua negara yang paling lantang menyatakan bantahan dan protes mereka terhadap rampasa kuasa haram tersebut adalah Tunisia dan Turki. Presiden Turki, Reccep Tayyib Erdogan tidak mengiktiraf kerajaan sementara pimpinan Adly Mansour dan menuntut agar Presiden Mursi dibebaskan dan dikembalikan kepada kedudukannya yang asal. 

Fakta 8 
Pada 3 Julai 2013, Jeneral Abdul Fatah as-Sisi mengumumkan di televisyen nasional Mesir bahawa pihak tentera telah mengambil alih kuasa daripada Presiden Mursi kerana kegagalan beliau memenuhi beberapa tuntutan oleh pihak Tamarrud dan ultimatum yang telah diberikan oleh pihak tentera. Presiden Mursi telah dikenakan tahanan di suatu tempat rahsia yang sehingga kini tiada siapa tahu lokasi sebenarnya, melaikan pihak tentera. 

Siapa dia as-Sisi? Dia telah dilantik sendiri oleh Presiden Mursi untuk menggantikan Muhammad Hussein Tantawi sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir yang baharu. Dia dilihat sebagai moderat dengan pegangan agama yang kuat; calon yang paling sesuai untuk menggantikan rejim Mubarak yang lama. Siapa sangka, dialah yang menjadi dalang utama dalam menjatuhkan bos besarnya sendiri. 

Selepas melantik Adly Mansour sebagai Presiden bagi kerajaan sementara, as-Sisi melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Pertahanan yang baru, selain jawatan Timbalan Perdana Menteri.


As-Sisi! Berapa banyak darah yang telah hang tumpahkan..?? Hang jawablah depan Allah nanti! [Kredit]

Fakta 9
Apa/Siapa itu Ikhwanul Muslimin? 




Ikhwanul Muslimin merupakan suatu pergerakan dakwah yang telah diasaskan oleh Hassan al-Banna pada tahun 1928, sebagai tindakan langsung daripada kejatuhan khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Sejarah pergerakan ini sangat panjang dan berwarna-warni; cukuplah saya merumuskan sejarah Mesir moden terlalu banyak dipengaruhi oleh pergerakan ini.

Perbalahan yang berlaku antara pihak tentera dan Ikhwanul Muslimin sememangnya diketahui umum. Ahli-ahli IM telah ditangkap, dihumban ke dalam penjara dan diseksa dalam jumlah yang pukal pada zaman Jamal Abdul Nassir, sehingga dianggarkan jutaan ahli IM ditangkap di seluruh Mesir. Ramai daripada mereka dibebaskan pada zaman Anwar Sadat, kemudian ditangkap dan sekali lagi dihumban ke dalam penjara ketika era Hosni Mubarak. Antara tokoh-tokoh besar IM yang mati di tangan pihak pemerintah diktator termasuklah Sayyid Qutb, Abdul Qadir Audah dan Syaikh al-Faraghli. 

Semenjak itu, IM diharamkan daripada bergiat aktif, apatah lagi dalam arena politik kerana pihak pemerintah melihat mereka sebagai ancaman besar. Namun ahli-ahli IM terus bergiat aktif dalam masyarakat dengan berselindung di sebalik nama persatuan atau badan yang lain.

Kepopularan dan pengaruh IM dalam kalangan masyarakat amat ketara apabila akhirnya mereka dibenarkan bertanding dalam pilihanraya Mesir usai kejatuhan Mubarak, mereka menang mudah di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan luar bandar. Selain itu, kebangkitan rakyat menentang penggulingan Presiden Mursi yang melibatkan jutaan rakyat Mesir juga menggambarkan sokongan padu rakyat terhadap pergerakan yang hampir mencecah usia 100 tahun itu. 

Sehingga kini, IM memainkan peranan yang penting dan aktif dalam mencorakkan sosia- politik dan -ekonomi rakyat Mesir.

Fakta 10

[Kredit]

Pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ke atas para penunjuk perasaan bermula pada 14 Ogos 2013, apabila pihak tentera nekad untuk mengosongkan Medan Rabaah, Medan al-Nahda dan Medan Mustafa Mahmud di Giza daripada para penyokong letigimasi Presiden Mursi.

Jumlah kematian yang dicatatkan berbeza-beza mengikut sumber; tetapi angka kematian tertinggi yang dilaporkan adalah lebih daripada 2,200 nyawa. Hal ini jelas merupakan kezaliman melampau, apatah lagi di dilakukan oleh rakyat Mesir sendiri terhadap saudara-saudara mereka. Malah, ada yang menyifatkan tindakan pihak tentera yang didalangi oleh Amerika dan Israel ini, lebih dahsyat dan keji daripada pembunuhan Bashar al-Assad terhadap rakyatnya dan kezaliman kerajaan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. Tindakan mereka ini jelas melanggar semua nilai-nilai kemanusiaan yang ada.  

Reaksi dunia, seperti biasa dan sudah boleh dijangka, hanya mampu untuk mengutuk tindakan zalim as-Sisi dan anjing-anjingnya. Malah Amerika sendiri, yang tangan mereka jelas berlumur dengan kekotoran kerana terlibat sama dalam konspirasi menjatuhkan Mursi, mengutuk tindakan tentera ke atas rakyat Mesir. 


Krisis yang sedang berlaku ini tidak wajar dipandang mudah oleh kita semua. Mesir adalah bumi barakah yang perlu dipertahankan. Ia adalah pintu masuk kepada pembebasan kota al-Quds. Tidak mustahil ia juga adalah titik awal kepada kemenangan Islam yang sudah terlalu hampir. 

Saya terlalu amat yakin, apa yang sedang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Mesir hanyalah sebahagian daripada ujian dan cubaan daripada Allah, untuk membersihkan sebarang unsur jahiliyyah dan taghut yang ada, sebelum Allah mengangkat mereka kepada darjat yang lebih tinggi. Apa yang sedang ikhwah dan akhawat kita lalui di Mesir, adalah trailer daripada Allah sebelum Dia mengurniakan kemenangan yang lebih agung!

Allahu Akbar! 

Kita di sini, teruskan berdoa dan bermunajat untuk keselamatan dan kemenangan saudara-saudara kita di sana. Kongsikan dan sebarkan berita-berita dan fakta-fakta yang benar lagi sahih tentang apa yang berlaku. Didik masyarakat di sekitar kita untuk cakna dengan apa yang berlaku. 

Kerana Mesir bukan hanya sebuah negara di Timur Tengah. Rakyat Mesir bukan hanya sekumpulan manusia yang bisa berbahasa Arab. Mesir bukan hanya sebuah negara yang menyimpan khazanah Firaun, Haman dan Qarun.

Tidak mustahil pergolakan di Mesir akan berlarutan dan berpanjangan sehingga membawa kepada peperangan saudara. Na'udzubillah. Sekiranya itu berlaku, ia bakal menjadi lebih teruk dan mengerikan daripada apa yang berlaku di Syria; sekurang-kurangnya di Syria jelas sekali ia adalah perbalahan antara puak Syiah dan Sunni, sedangkan apa yang berlaku di Mesir adalah saudara sesama pegangan dan aqidah. 

Derita sengsara dan air mata merek di sana, adalah milik kita jua! [Kredit]

Kalahnya Mesir, maka tewaslah kita. Tetapi menangnya Mesir, akan tersebar luaslah cahaya keagungan dan kemenangan Islam, inshaAllah! 

"Siapa yang membantu menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari sebuah kesulitan di antara berbagai kesulitan-kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan salah satu kesulitan di antara berbagai kesulitannya pada hari kiamat.

[Hadith Riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan lain-lain]

Jadi bagaimana? Kita masih terus mahu membuta, membisu dan memekakkan telinga? Sedangkan saudara-saudara kita terus dibantai, disembelih dan dibelasah taghut dan syaitan durjana..?


 

Tuesday, July 9, 2013

Hukum Puasa Ramadhan tapi tidak solat


Assalamualaikum semua..

Salam 3 Ramadhan..

Apa hukumnya Puasa tetapi tidak solat?

Cik intan terjumpa di Laman soal jawab agama

Ada beberapa pendapat mengenainya,

1) Jika ia meninggalkan solat kerana malas (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;
1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah
 kafir.
2. Jumhur ulamak berpandangan; ia
 fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar. 

2) Jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang Murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.


Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. 


Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).


Berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. 

Rujukan: ilmudanulamak



p/s- Berpuasalah, solatlah dan menutup auratlah.. =)

Wednesday, January 23, 2013

Sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh - Pembuka Konstatinople


Sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh



PENGENALAN

Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata: “Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”

Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.

Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.

Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.



ZAMAN KECIL

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.

Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.

Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.
Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.


ZAMAN REMAJA

Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.

ZAMAN DEWASA

Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.

Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.

Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah:

“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”

Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.


MEMBUKA KONSTANTINOPLE

Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.

Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.


Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam jatuh.
Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.


Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.

Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa.

Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.
Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”

Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!

Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad menukar nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa maksud “Islam Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium.

Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.


JUMAAT BERSEJARAH

Selepas berjaya menakluki Konstantinople, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam? Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.”

Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fadhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.”

Sebahagian daripada tenteranya duduk.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”

Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan pemerintah besar ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak dia cukup umur. Alangkah hebatnya peribadi seorang pemimpin sebegini! Ada lagikah pemimpin umat Islam yang sebegini?

AKHIR HAYAT

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hurkascayiri, Gebe. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun.
Siapa yang meracunnya? Seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Allahu a’lam.


KISAH POTRET SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Potret ini memang masyhur. Siapakah pelukisnya?
Pelukisnya ialah seorang Itali bernama Genti le Bellini. Dia dihantar oleh Senat Venice ke Istanbul pada tahun 1479 untuk bertemu dengan Sultan Muhammad al-Fateh atas urusan hubungan diplomatik. Dialah yang melukis potret baginda.


PEMBUKA KONSTANTINOPLE SETERUSNYA

Hadis Nabi bercerita tentang kedatangan Yakjuj Makjuj. Kedatangan tentera Khazar, Monggol dan Rusia juga ternyata gerombolan Yakjuj Makjuj. Namun Yakjuj Makjuj yang utama akan muncul selepas kedatangan Imam Mahdi dan Nabi Isa al-Masih nanti.

Begitu juga dalam kes Pembuka Konstantinople. Sultan Muhammad al-Fateh dan tenteranya memang benar sebaik-baik raja dan tentera pada zaman mereka yang berjaya membuka Konstantinople, namun Pembuka Konstantinople yang utama akan tiba tidak lama lagi. Mereka juga sebaik-baik raja dan tentera, untuk penghujung akhir zaman ini.

Kita lihat apa yang dinukilkan oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Haitamy dalam kitabnya Al-Qaul al-Mukhtasor fi ‘Allamah al-Mahdiy al-Muntazor:

“Al-Mahdi akan memerangi Rom selama 3 hari. Pada hari ketiga itulah Rom runtuh. Kemudian menyerang Konstantinople. Ketika mereka membahagi-bahagikan emas di Konstantinople dengan memakai takaran perisi, tiba-tiba ada orang yang berteriak: “Sesungguhnya Dajjal telah menundukkan keluarga-keluarga kamu semua.”
“Al-Mahdi akan menundukkan Konstantinople dan Jabal ad-Dailam.” (Abu Nuaim)

Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya mereka menundukkan Konstantinople dan Rom dengan membunuh 40,000 jiwa……. Ketika mereka membahagi-bahagikan harta rampasan perang, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita kedatangan Dajjal…”

Sabda Nabi:
“Peperangan yang terbesar ialah tertakluknya Konstantinople. Dan keluarnya Dajjal ialah selama 7 bulan.”

Hadis riwayat al-Hakim:
“Sesungguhnya pasukan yang menundukkan Konstantinople ialah pasukan Hijaz……. Kemudian mereka dikejutkan dengan orang meneriakkan tentang kedatangan Dajjal.”

“Tertakluknya Konstantinople ialah keluarnya Dajjal.”

“Ketika menundukkan Konstantinople, Al-Mahdi menancapkan benderanya untuk mengambil wudhuk dan mengerjakan solat Subuh.”

Cuba perhatikan, penaklukan Konstantinople dikaitkan dengan al-Mahdi dan pra-kezahiran Dajjal. Maksudnya pembukaan utama Konstantinople belum berlaku. Ia akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan tentera iaitu Imam Mahdi dan pasukannya.

Anda mahu jadi salah seorang ahli pasukannya yang sebaik-baik tentera itu? Bandingkan amalan anda dengan amalan para perajurit Pembuka Konstantinople yang pertama iaitu tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Tentunya kualiti tentera yang membuka akan membuka Konstantinople kali ini adalah lebih hebat daripada yang pertama. Layakkah anda?

Satu hal yang menarik, orang yang mengatakan Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam ialah Nabi Muhammad saw, Pembuka Konstantinople yang pertama ialah Sultan Muhammad manakala Pembuka Konstantinople yang utama ialah Muhammad bin Abdullah iaitu al-Mahdi. Ketiga-tiganya Muhammad.



Saturday, November 17, 2012

PEMBEBASAN BAITUL MAQDIS


Sultan Salahuddin Al-Ayyubi : Pembebasan Baitul Maqdis

Assalamu'alaikum wbt
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang


"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

(Surah al-Ahzab: ayat 56).


PERISTIWA PEMBEBASAN BAITUL MAQDIS

Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, orang-orang Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Maqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Maqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal iaitu Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Maqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H.

Sultan Salahuddin Al-Ayyubi telah dilahirkan pada tahun 1138 Masihi. Ayahnya berasal daripada suku Kurdistan yang terletak di Utara Iraq. Mereka kemudiaanya berpindah ke negeri Syam. Semasa kecil, Salahuddin belum lagi memperlihatkan sifat-sifatnya yang luarbiasa dan masih belum dikenali ramai. Setelah besar, beliau berpeluang mengikuti bapa saudaranya yang bernama Shirkuh untuk pergi berperang di negeri Mesir yang diperintah oleh keturunan Fatimiyah.

Pada tahun 1169, Shirkuh iaitu bapa saudara Salahuddin telah dilantik sebagai wazir di bawah Khalifah Fatimiyah. Setelah kematian bapa saudaranya, Salahuddin telah diangkat sebagai wazir menggantikan ayah saudaranya itu. Salahuddin menunjukkan sikap seorang pahlawan Islam yang sangat cekap dan seorang pemerintah yang berkaliber.

Beliau berjaya menumpaskan gerakan-gerakan pemberontak oleh golongan-golongan yang cuba merampas kuasa dan berjaya menumpaskan pihak Frank dan Byzantine yang beragama Kristian yang cuba menakluk kota Kahirah, iaitu ibu kota Mesir pada ketika itu.

Pada tahun 1175, berlaku kemangkatan Raja Mesir Bani Fatimiyah yang akhir, lalu Salahuddin telah mengistiharkan dirinya sebagai pemerintah Mesir yang berdaulat. Pemerintah di Baghdad juga telah mengiktiraf Sultan Salahuddin Al-Ayubi sebagai pemerintah yang berdaulat merangkumi Raja Mesir dan Arab Barat (Hijaz dan Yaman).

Dalam masa kurang daripada 10 tahun, Sultan Salahuddin Al-Ayubi telah berjaya memasuki negeri Syam yang luas serta jajahannya menjadi lingkungan kekuasaannya. Sultan Salahuddin Al-Ayubi di iktiraf sebagai pemerintah Islam yang paling agung pada ketika itu memandangkan tanah jajahannya yang begitu luas dan besar.

Semasa berlakunya Perang Salib di Timur Tengah, angkatan salib Kristian iaitu orang-orang Frank telah berjaya menubuhkan beberapa negeri Kristian di Syam. Sikap orang Kristian sangat mengancam ketenteraman dan keamanan negeri-negeri di sekitarnya yang didiami oleh orang-orang Islam. Keadaan ini memaksa Sultan Salahuddin Al-Ayubi membebaskan negeri-negeri yang dikuasai oleh tentera-tentera salib di tanah suci Palestin.

Pembebasan bumi Al-Quds ini tercapai setelah tentera Islam bejaya mengalahkan tentera Salib Kristian dalam peperangan Hittin di bawah pimpinan Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Jumlah tentera Islam pada ketika itu ialah 12,000 orang sementara tentera salib 50,000 orang dipimpin oleh Guy of Lusignan dan Raymond III of Tripoli.
Peperangan ini dinamakan peperangan Hittin kerana ia berlaku di Kampung Hittin, di kaki Bukit Hittin, yang terletak di antara Tiberias dan An-Nasirah. Akhirnya tentera Salib telah tewas. Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat ditawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan.

Dalam tempoh dua bulan selepas Salahuddin mencapai kemenangan di Hittin, tentera Islam di bawah kepimpinan Salahuddin mengambil keputusan untuk memasuki bandar dan ibukota Al-Quds. Sebanyak lima puluh buah bandar dan perkampungan yang pernah berada di bawah penjajahan tentera Salib telah berjaya dimerdekakan dalam tempoh yang terlalu singkat. Namun begitu, objektif sebenar yang dijanjikan oleh Salahuddin Al-Ayyubi kepada umat Islam ialah untuk membebaskan Al-Quds dari kongkongan musuh-musuh Islam.

Untuk tujuan tersebut Salahuddin meneruskan perjalanannya bersama dengan angkatan tentera ke arah Al-Quds (Baitul Maqdis) dan berjaya mengepungnya selama seminggu sehinggalah pasukan tentera pertahanan kota menyerah diri menyebabkan Salahuddin berjaya memasukinya pada hari Jumaat bersamaan 27 Rejab 583H.

Sebaik sahaja tentera Islam berjaya memasuki Al-Quds, Salahuddin Al-Ayyubi mengambil tindakan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Saiyidina Umar bin Al-Khattab (r.a) semasa kali pertama beliau berjaya memasuki Al-Quds. Beliau membuat perjanjian dengan semua masyarakat yang tinggal di sana seperti penganut agama Kristian supaya menjaga kehidupan mereka, kehormatan mereka dan harta benda mereka.
Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H orang-orang Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

Siapakah yang bakal menggantikan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi untuk menawan kembali baitul maqdis daripada Yahudi ini??

SEJARAH PALESTIN DAN ISRAEL


Sejarah Palestin & Israel

Gambar Satelit
Gambar Satelit
Posting ini adalah bertujuan menyebarkan maklumat asas mengenai sejarah konflik Palestin-Israel yang telah wujud sejak ribuan tahun yang lalu, sekaligus berlaku terus-terusan sehingga ke sekarang malah disusuli pula dengan keganasan dan kekejaman.
Posting ini adalah ditulis berdasarkan kefahaman saya, sebarang kesilapan terutamanya dari segi fakta, mohon diperbetulkan.

Tanah Rahmat

Bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau.
Bagi umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan “Tanah Yang Dijanjikan Tuhan” kepada mereka. Di situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci mereka.
Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa kepada pertumpahan darah sekarang.
Bagaimana dengan Kristian pula? Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran Nabi Isa. Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).

Sejarah Awal

Sebenarnya sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka. Kita tahu melalui alQuran, bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya membelah dan menyeberangi lautan tersebut.
Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut. Kita boleh baca sendiri dalam alQuran, betapa kaum ini semakin lama semakin “besar kepala”, meminta yang pelbagai dari Nabi Musa dan sebagainya. Kita juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan di dalam alQuran di surah alBaqarah.
Setelah Talut menawan kembali tanah palestin tersebut dari kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin). Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Pada tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu. Lalu tersebarlah kaum Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.
Sejak dari itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom. Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian. Lebih kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan, mengalami Kristianisasi. Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.

Kedatangan Islam

Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan Empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi. Seterusnya empayar Islam semakin berkembang, dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.
Sepanjang dari tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi, mengalami pelbagai perubahan dari sudut struktur pemerintahan. Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan Church.
Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan “fatwa” mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi. Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades)
Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.

Menawan Semula

Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat. Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi. Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin. Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibunegara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.
Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai. Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar. Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi. Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah. Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada namaEmpayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.

Perang Dunia Pertama

Akhirnya, pada tahun 1914, tercetusnya perang dunia pertama. Perang dunia pertama terdiri daripada 2 kuasa besar, iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary. Setelah perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Italy menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula menyertai Pakatan Pusat.
Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh Britain. Kerajaan Islam Barat yang menjangkaui sehingga ke Algeria, Sudan dan negara-negara utara Afrika, dikuasai oleh Perancis. Kerajaan Islam juga diserang dari utara, oleh Russia, menyaksikan Russia menawan kawasan utara kerajaan Islam.
Perlu diberi perhatian, pada ketika ini, masih belum wujud negara bangsa, kerajaan Islam adalah disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah, manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.

Perpecahan Negara Arab

Pada ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisma di negara-negara Arab. Pejuang kebangsaan/nasionalisma Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal 1, berpaling tadah dan memihak kepada Britain. Sejak dari itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain.
Pada tahun 1915, Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain menduduki semula kawasan Palestin. Tentera Britain, diketuai General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi ucapan – “hari ini, perang salib sudah berakhir”.
Pada 1917, Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi. Penempatan Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 sebelum itu kepada mencecah setengah juta, manakalan penduduk Islam Palestin ketika itu hampir mencecah 1.4 juta.
Wakil dari Yahudi ketika deklarasi tersebut, merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann. Weizzman juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada kejayaan Britain dalam perang tersebut. Weizzman mendesak setiausaha luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut. Kerana terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju. Pada mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya kepada Balfour,
“Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”
“Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!”
“Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”
Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.
Pada tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.
Akhirnya pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama. Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin. British dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya. Dari situ wujudlah negara bangsa, apabila sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.

Kejatuhan Turki Uthmaniyyah.

Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul. Pada tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti – sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar sekular. Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.
Seorang ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding pihak pakatan ketika itu – “Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?”
Lord Curzon menjawab – “Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya – Khalifah dan Islam.
Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia mengeluarkan ugutan ke atas kabinet turki ketika itu, lalu merombak parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut. Akhirnya, Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas tampuk pemerintahan.
3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya ditamatkan. Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri. Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.

Holocaust

Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler. Ketika tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4. Pelan ini merencanakan pembunuhan euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan seramai hampir 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.
Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.

Penglibatan Amerika Syarikat

Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel. Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki. Setelah holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.
Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden US ketika itu, Harry Truman. Pada November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan PBB lalu PBB mendeklarasi pemisahan Palestin. Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB. Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini. Presiden Israel yang pertama – Chaim Weizmann.

Palestin Sekarang

Sejak dari holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke tanah air di Israel. Yahudi di Amerika diterima dengan tangan terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas kasihan akibat holocaust tersebut. Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika. Amerika, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas tanah Palestin yang dirampas secara haram.
Sehingga kini, Israel terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya. Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa. Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin. Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika. Sampai bila keadaan ini akan berakhir? Hanya 2 – sama ada Palestin akan terus dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka mencari Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam menyokong perjuangan Palestin.
Di mana kita? Kita boleh berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang pertama tadi sebagai realiti.
Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.
Fikir-fikirkan.

Thursday, October 4, 2012




Tan Sri Datuk Abdul Ghani Minhat (اﺑدﻭل ﻏﺍﻧﻲ ﻣﻳﻧﻫﺍت lahir pada 23 Disember 1935) merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia yang pernah mewakili pasukan Piala Malaysia Selangor pada tahun 1950-an sehinggalah penghujung 1960-an. Beliau beraksi sebagai penyerang dan sayap ketika mewakili Selangor dan Malaysia. Beliau pernah dihantar FAM untuk menjalani sesi latihan di Eintracht Frankfurt, Jerman. Beliau digelar sebagai Raja Bola di atas kehebatannya di padang dan merupakan salah seorang lagenda bola sepak Malaysia.
Beliau banyak menyumbangkan tenaga sebagai pemain dan jurulatih bersama pasukan Selangor walaupun berasal dari Negeri Sembilan. Pada 1959, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menganugerahkan gelaran Raja Bola kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya kepada negeri itu.Allahyarham pernah merangkul Anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik Kebangsaan pada 1959 dan 1960 dan pernah melakukan keajaiban dengan menjaringkan 106 gol hanya dalam 15 perlawanan. [1]
Keluarga
Abdul Ghani dilahirkan pada 23 Disember 1935 di Rantau,Negeri Sembilan.Abdul Ghani berkahwin dengan Tengku Aishah Tengku Ibrahim dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nik Abdul Halim, Nik Salwani, Nik Sarina dan Nik Mohd Hanif.

Kerjaya
Kerjaya Datuk Ghani Minhat bermula pada tahun 1945 di sekolah Princess Road (kini Sekolah Kebangsaan Raja Muda) ketika berusia 10 tahun. Ketika mewakili sekolah Princess Road, dia beraksi dengan berkaki ayam. Dua tahun selepas itu, Ghani mewakili Sekolah St John Kuala Lumpur. Pada tahun 1951, bakat beliau dilihat oleh beberapa orang pegawai polis yang kemudiannya menghadiahkan but pertama beliau.
Ketika berusia 17 tahun, beliau terpilih untuk beraksi bersama pasukan Depot Polis yang beraksi dalam Liga Selangor. Beliau beraksi di posisi sayap kiri walaupun berkaki kanan. Peluang ini digunakan beliau untuk menggilap kemahiran menyepak menggunakan kedua-dua belah kaki. Pada tahun 1955, Ghani Minhat terpilih untuk bersama skuad Selangor dan membantu Selangor memenangi Piala Malaysia pada tahun berikutnya buat kali pertama selepas 6 tahun setelah menewaskan Singapura 2-1.

Pada tahun 1956, Ghani beraksi buat kali pertama bersama Malaysia. Penampilan pertamanya bersama Malaysia sangat menakjubkan apabila menjaringkan tujuh gol ketika membantu Malaysia menewaskan Kemboja 9-2. Tahun berikutnya, beliau menjaringkan gol pertama skuad negara dalam kejohanan sulung Pestabola Merdeka hasil sepakan dari 40 meter menentang Vietnam dalam perlawanan yang berlangsung di Padang TPCA, Princess Road. Namun skuad negara pulang hampa apabila gagal membawa pulang piala Pestabola Merdeka. Kehampaan itu berjaya ditebus pada tahun 1958 apabila membantu skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka menewaskan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir.

Ghani kemudian membantu skuad negara mengekalkan kejuaraan Pestabola Merdeka pada 1959. Beliau kemudian mendapat gelaran Raja Bola dari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), gelaran yang kemudiannya digunakan oleh sesiapa sahaja merujuk kepada beliau. Beliau melengkapkan hatrik kejuaraan Pestabola Merdeka skuad negara setelah berkongsi kejuaraan bersama Korea Selatan pada 1960. Pada tahun ini juga, Ghani mencipta rekod jaringan yang kekal sehingga ke hari ini apabila menjaringkan 9 gol menentang Negeri Sembilan menjadikan jumlah jaringan beliau 34 gol dalam 9 perlawanan. Setahun selepas itu, Ghani bersama skuad negara meraih pingat emas Sukan SEAP di Rangoon, Burma (kini Myanmar). Dia juga membantu skuad negara memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962.

Pada tahun 1963, Ghani bersama skuad lagenda Merah Kuning (Selangor) menjaringkan 106 gol dalam hanya 15 perlawanan termasuk rekod jaringan bola sepak Malaysia yang kekal ke hari ini iaitu menang 18-0 menewaskan Terengganu (Rekod sebelumnya dipegang Kelantan yang menewaskan Pahang 16-1 pada 1962 hasil 8 jaringan Mohamad Che Su). Dia kemudiannya menjaringkan 4 gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menewaskan Pulau pinang dengan jaringan 6-2.

Pada tahun 1967, Ghani membantu Selangor layak beraksi di perlawanan akhir Kejuaraan Kelab Asia tetapi tewas kepada kelab Israel Hapoel Tel Aviv dengan jaringan 2-1. Beliau bersara dari bola sepak pada tahun 1968 setelah membantu Selangor buat kali kelapan dalam kariernya menjuarai Piala Malaysia. Tambah menarik Selangor berjaya membenam Pulau Pinang 8-1 dalam perlawanan akhir. Beliau menamatkan karier sebagai pemain dengan nota cemerlang apabila berjaya menjaringkan lebih 100 gol dalam peringkat kebangsaan dan negara.

Beliau kemudian dihantar ke Jepun oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghadiri kursus kejurulatihan. Selepas itu, dia dilantik untuk menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan dalam satu kejohanan di Tokyo. Beliau kemudian menjadi jurulatih pasukan kesayangannya Selangor pada tahun 1970 dan pada 1971 beliau menjadi orang pertama yang menjuarai Piala Malaysia dalam dua gelanggang berbeza iaitu sebagai pemain dan jurulatih. Beliau sekali lagi membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Perak 3-1 pada 1972. Beliau kemudian meletak jawatan sebagai jurulatih kerana ingin menumpukan perhatian dalam bidang perniagaan.
10 tahun kemudian, Ghani kembali menjadi jurulatih Selangor menggantikan Chow Kwai Lam namun hanya bertahan selama tiga musim selepas gagal membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia pada musim 1985 meskipun berjaya membawa Selangor menjuarai Piala Malaysia menewaskan Pahang 3-1 pada musim 1984 dan kembali ke bidang perniagaan. Pada tahun 2004, beliau kembali menabur bakti kepada Selangor. Kali ini sebagai Penasihat Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Beliau kemudian mengundurkan diri dari bola sepak Selangor dan beralih ke negeri kelahirannya sebagai Penasihat Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan.

Meninggal dunia
Pada 27 September 2012, Raja bola sepak Malaya, Tan Sri Abdul Ghani Minhat meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), akibat mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung. Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 . Antara pemain bola sepak kebangsaan yang hadir ialah Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Bakri Ibni, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, dan Azlan Johar.
Abdul Ghani meninggalkan isteri Puan Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim, 67, dan empat anak, dua lelaki, Nik Abdul Halim, 42, Nik Mohd. Hanif, 37 dan dua wanita, Nik Salwani, 40 dan Nik Sarina 38.
Antarbangsa
  • Juara Pesta Bola Merdeka 1958, 1959, 1960
  • Pingat Emas Sukan SEAP 1961
  • Pingat Gangsa Sukan Asia 1962
  • Tempat ke-2 Kejohanan Kelab Asia 1967
Kebangsaan
  • Juara Piala Malaysia sebanyak 8 kali
  • Gelaran Raja Bola oleh Persatuan Bola Sepak Selangor
Jurulatih
Individu
  • Pingat DSSA, DIMP, AMN dan PJK

Monday, September 17, 2012

Pembunuhan dan Penyembelihan Rakyat Palestin 17 September 1982

Peristiwa pembunuhan dan penyembelihan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Sabra dan Shatila dari 16 hingga 18 September 1982 tidak mungkin terpadam daripada sejarah kemanusiaan, walaupun media arus perdana seakan-akan tidak pernah tahu tentang hakikat peristiwa tragis itu.